ISMS : Peluang belajar di UBD, mengenali budaya serta tradisi NBD




Siaran Akhbar dan Foto : Universiti Brunei Darussalam





BANDAR SERI BEGAWAN, Selasa, 29 Julai. - Institut Sains Kesihatan Pengiran Anak Puteri Rashidah Sa'adatul Bolkiah (PAPRSB IHS), Universiti Brunei Darussalam (UBD) telah merasmikan Program Sekolah Perubatan Musim Panas Antarabangsa (International Summer Medical School-ISMS) Ke-15.


Program pertukaran pelajar tahunan yang diadakan dengan kerjasama Kagawa University, Jepun dan pada tahun ini, ia menawarkan peluang kepada enam pelajar yang mengambil bahagian dari Fakulti Perubatan di Kagawa University untuk mengalami kehidupan sebagai pelajar di UBD dan mengenali budaya serta tradisi Negara Brunei Darussalam (NBD), di samping menjalin persahabatan antarabangsa, dan meningkatkan kemahiran klinikal dan komunikasi mereka.


Tahun ini juga bertepatan dengan Ulang Tahun UBD Ke-40, meraikan empat dekad kecemerlangan dan inovasi. Selaras dengan komitmennya, UBD terus menyediakan pendedahan antarabangsa kepada pelajarnya untuk mendapatkan perspektif yang lebih baik mengenai isu dan budaya global serta memupuk penghargaan terhadap budaya dan agama lain.


Majlis perasmian yang berlangsung di Bangunan PAPRSB IHS Extension, UBD tersebut telah disempurnakan oleh tetamu kehormat majlis, Duta Besar Istimewa dan Mutlak Jepun ke NBD, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka.


Semasa majlis tersebut, Dr. Poh Hui Goh, iaitu salah seorang penyelaras Program ISMS Ke-15, menekankan kepentingan program berkenaan dalam memperkayakan pengalaman pelajar pertukaran bagi kedua-dua pihak universiti, iaitu UBD dan Kagawa University.


Dr. Poh Hui Goh juga percaya bahawa program seperti ISMS bukan sahaja menyediakan pengetahuan perubatan tetapi ia membina persahabatan, memperdalam penghargaan antara budaya dan menyumbang kepada matlamat yang lebih luas untuk memupuk profesional penjagaan kesihatan yang berfikiran global.


Tahun ini, program tersebut mengalu-alukan enam pelajar perubatan dari Fakulti Perubatan Kagawa University yang terdiri daripada Kazuki Umachi, Misaki Takahashi, Naomi Urayama, Sakurako Okumura, Yui Fukui, dan Yuka Shiraishi.


Sementara itu, Dekan PAPRSB IHS, Profesor Kenneth Yuh Yen Kok dalam ucapan alu-aluannya menekankan kepentingan kerjasama jangka panjang dan acara tersebut merupakan bukti kepada hubungan kerjasama yang telah lama terjalin antara Kagawa University dan UBD, iaitu satu kolaborasi yang telah berkembang selama ini melalui rasa hormat bersama, pertukaran akademik dan persefahaman budaya.


"Hubungan kukuh antara PAPRSB IHS, UBD dan Fakulti Perubatan Kagawa University dicirikan oleh siri pertukaran pelajar dan kakitangan yang memberi manfaat, kerjasama penyelidikan serta komitmen bersama dalam memajukan pendidikan perubatan dan penjagaan kesihatan," ujarnya lagi.


Manakala, Pengerusi Sekolah Perubatan dan Ahli Jawatankuasa Sumbangan dan Pertukaran Antarabangsa di Fakulti Perubatan Kagawa University, Profesor Dr. Takashi Kusaka pula turut mengiktiraf nilai kerjasama tersebut dan masa telah membuktikan bahawa hubungan kita amat bernilai. Lebih 20 tahun telah berlalu, namun nilai masa itu amat mendalam bagi kita semua.


Program ISMS Ke-15 merupakan kesinambungan yang membanggakan daripada kerjasama jangka panjang antara UBD dan Kagawa University. Sempena sambutan Ulang Tahun UBD Ke-40 , program tersebut bukan sahaja mengukuhkan hubungan akademik dan kebudayaan tetapi juga mencerminkan komitmen berterusan UBD untuk melahirkan profesional penjagaan kesihatan yang cekap di peringkat global.


Dengan saling menghormati, berkongsi pembelajaran dan persahabatan yang berkekalan sebagai terasnya, Program ISMS terus memberikan pengalaman bermakna yang memperkaya kedua-dua institusi dan menyediakan pelajar untuk berkembang maju dalam dunia yang semakin saling berkaitan.


Close